Assalamualaikum wbt.
Sudah lama saya tidak menulis berkenaan dengan perniagaan. Ini disebabkan keadaan saya yang terlalu sibuk dengan urusan perniagaan offline saya.
Ini adalah satu perkara yang selalu dipandang remeh oleh usahawan terutama yang baru menapak. Ramai juga usahawan yang saya temui mengatakan, “buat ape business card, bukannya bisnes besar pun.”
Dua kesilapan pada ayat di atas. Satu apabila mengatakan tiada Kad Perniagaan. Bagi saya kad perniagaan ni membawa impak besar kepada perniagaan kita. Ini berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri dalam dunia perniagaan. Kemungkinan dengan hanya modal RM0.35 untuk sekeping kad perniagaan, tidak mustahil untuk membawa pulangan sebanyak RM35,000 di dalam perniagaan kita nanti.
Dan kesilapan kedua pula adalah apabila mengatakan “bukannya bisnes besar pun.” Adakah anda akan sentiasa berada pada tahap bisnes kecil? Takkan tiada impian untuk membesarkan perniagaan anda kelak? Kata-kata sebenarnya adalah sebagai doa dan juga motivasi untuk kita mencapai impian kita insya’Allah.
Dato’ Dr Mohd Fadzhilah Kamsah pun menyarankan agar kita memberikan kad perniagaan apabila berjumpa dengan orang. Dengan memberi kad perniagaan, orang akan melihat kita lebih professional dalam perniagaan dan juga orang akan lebih ingat kepada kita. Kad perniagaan juga melambangkan tentang perniagaan kita.
Pengalaman saya semasa saya berniaga di uptown. Saya memberikan kad saya bukan hanya kepada pelanggan yang membeli di gerai saya bahkan kepada mereka yang tidak membeli. Dengan kad itu menjadikan orang lebih mengenali saya. Saya juga selalu menerima panggilan telefon bertanyakan pasal barangan yang saya jual dari orang yang saya tidak kenali. Apabila saya bertanya dari mana mendapat no telefon, mereka menyatakan daripada kad perniagaan yang saya beri semasa datang ke gerai saya. Dari sini saya boleh melihat betapa berkesannya pemasaran melalui kad perniagaan. ‘Ah Long’ pun menggunakan kad perniagaan selain brosur untuk mengiklankan perniagaan mereka.
Untuk perniagaan online pun anda masih boleh menggunakan kad perniagaan untuk promosi perniagaan online anda. Setiap kali berjumpa dengan orang di luar, anda boleh memberikan kad perniagaan anda kepada mereka. Dari situ mereka akan membuka website anda dan mungkin mereka salah seorang yang akan menjadi pelanggan anda nanti. Tidak mustahil kan?
Jadi kepada usahawan yang baru, atau peniaga pasar malam, jangan malu dan kedekut untuk melaburkan duit untuk membuat kad perniagaan anda. Saya yakin ia akan membawa pulangan kepada anda nanti. Insya’Allah.
Sekian tulisan saya pada kali ini. Selamat Berpuasa.
-emzek-